Kuching, 8 Ogos – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperuntuk sebanyak RM15 juta bagi membekalkan komputer riba percuma kepada pelajar Sarawak yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Beliau berkata, setakat ini lebih daripada 13,000 pelajar telah memohon inisiatif laptop percuma tersebut, manakala kira-kira 5,000 pelajar memohon baucar buku. Terdapat kira-kira 35,000 pelajar Sarawak yang kini menuntut di IPTA dan IPTS.
"Kita tahu bahawa cara belajar sekarang telah berubah dari cara dahulu. Dahulu kita pergi perpustakaan, sekarang semua adalah atas talian. Anda hanya perlu masukkan nama pengarang dan buku akan tersedia di hadapan komputer anda. Pada masa yang sama, jika anda ingin melakukan penyelidikan mengenai sesuatu subjek, anda hanya perlu ‘google’ dan semua maklumat akan ada di sana. Itulah kemudahan yang dinikmati oleh pelajar masa kini," kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau dalam Majlis Pelancaran Agihan Komputer Riba Percuma Dan Anugerah Khas Premier Sarawak bertempat di Hikmah Exchange, di sini.
Keputusan untuk menyediakan komputer riba percuma ini dibuat selepas perbincangan dengan rakan-rakan dalam kerajaan negeri.
"Apabila Pejabat Kewangan Negeri Sarawak (SFS) bertemu dengan saya dan menyatakan kita ada rezeki lebih di Sarawak, saya kata, kita berikan kepada anak Sarawak supaya mereka dapat menggunakan sumber tersebut tanpa perlu meminta daripada ibu bapa mereka," tambah beliau.
Inisiatif ini diharap dapat memudahkan pelajar untuk belajar, membuat penyelidikan, dan mengenalpasti disiplin yang sesuai di universiti.
"Dulu kita tidak tahu tentang teknologi baru ini. Sebab itu, dalam dasar pendidikan di Sarawak, kita mengambil kesempatan ke atas beberapa ruang dalam perlembagaan yang membolehkan kita melaksanakan dasar kita sendiri, walaupun tanpa menjejaskan dasar pendidikan negara," ujar beliau lagi.
Selain itu, Abang Johari turut mengumumkan rancangan kerajaan Sarawak untuk membangunkan aplikasi ‘Chat’ yang boleh menterjemah bahasa etnik Sarawak secara masa nyata. Usaha ini dihasilkan menerusi kerjasama dengan SAINS (Sarawak Information Systems).
Kerajaan Sarawak juga akan menubuhkan pusat A.I. (Artificial Intelligence) untuk memperluaskan pengetahuan pelajar dalam teknologi terkini. "Apabila ini berlaku, anak kita akan dapat menguasai apa juga ilmu menerusi penggunaan A.I. dan peralatan elektronik," jelas beliau.
Dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran teknikal pelajar Sarawak, Abang Johari turut mengumumkan bahawa PETCHEM akan menawarkan dua biasiswa peringkat Sarjana dalam bidang kejuruteraan proses kimia mulai tahun hadapan, dengan peluang belajar di luar negara. Yayasan Sarawak pula akan menawarkan biasiswa dalam bidang kejuruteraan angkasa lepas dan teknologi satelit, manakala PETROS akan memberikan biasiswa dalam bidang kejuruteraan petrokimia.
Majlis tersebut turut menyaksikan Abang Johari menyampaikan 50 komputer riba percuma kepada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS. Beliau juga menyampaikan Anugerah Khas Premier Sarawak kepada 43 penerima bagi tahun 2022-2023.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak & Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Yayasan Sarawak Tuan Haji Mersal Abang Rosli.